Mar 28, 2011

Warkah buat bakal imamku

Assalamualaikum wbt,buat dirimu bakal imamku,..


Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…


"seindah hiasan adalah wanita solehah"

Ku mulakan tinta hati dengan bait indah Rasulullah buat semua umat di muka Bumi ini. Setiap kaum adam di muka Bumi ini pasti mengimpikan Wanita Solehah sebagai wanita idaman mereka. Seterusnya berniat untuk menjadikan wanita solehah sebagai pendamping hidup mereka dunia akhirat. Alhamdulillah, begitulah panduan yang telah ditetapkan bagi memilih calon zaujah yang terbaik di sisi setiap bakal-bakal zauj. InsyaAllah.



Wahai bakal imamku ,
Sabda Rasulullah saw, "kahwinilah perempuan itu kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, mudah-mudahan kamu akan terpelihara dan bahagia". Begitulah panduan syariat yang telah ditetapkan sepanjang zaman, bagi dirimu memilih calon zaujah yang terbaik disisimu. Tiap baris bait telah ku hafal kala diri melangkah ke alam baligh. Percayalah bakal imamku, diriku tidak punya harta seperti yang engkau inginkan melainkan ilmu yang hanya sekelumit yang telah ibubapaku berikan.

Dan jika keturunan mulia yang engkau impikan, maka diriku adalah sama sekali tidak tergolong di dalamnya. 
Keturunanku tidak tergolong dalam mana-mana golongan bangsawan, tidak juga tergolong dalam keturunan yang berpangkat. Keturunanku hanya tergolong dalam golongan yang sederhana, dan tidak punya apa-apa yang harus dibanggakan dalam keturunanku. 

Kecantikan? Adakah kecantikan yang engkau harapkan dariku wahai bakal imamku?..Setiap insan di muka Bumi ini pasti inginkan ,Kecantikan sebagai pandangan pertama bagi dirinya untuk memilih calon zaujah. Namun bagi diriku, tidak punya apa-apa kecantikan yang harus dibanggakan. Jauh sekali untuk bersaing dengan mana-mana wanita tercantik di muka Bumi. Diriku hanya membuang masa jika kecantikan secara zahiriyyah yang kau impikan. Aku hanya boleh berkata yang telah ku hijabkan kecantikan diriku dengan membuat amalan tuntutan agama.
Selebihnya hanya dirimu yang boleh menilai adakah diriku layak untuk menjadi calon zaujah mu?Andai diriku menjadi pilihanmu,..Aku tidak menjanjikan kebahagian baitul muslim sebagaimana yang engkau impikan, tapi diriku amat memerlukanmu untuk bersama-sama menegakkan dakwah islamiyyah dan sebagai pelengkap tulang rusukmu, diriku akan sentiasa menemani dirimu mengharungi onak duri kehidupan seharian. Dikala saat lafaz sakinah selesai diijabkabulkan, maka diriku berjanji akan sentiasa menjadi pembantu setiamu membina markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada PenciptaNya, tidak ada apa yang boleh memisahkan kita melainkan "Ajal".

Wahai bakal imamku yang disegani, 
Aku mengakui diriku masih kekurangan ilmu agama, namun dengan sekelumit ilmu agama yang telah dipelajari, aku ingin menjadi seorang zaujah yang sentiasa mendapat keredhaan dari Allah dan zauj ku sehingga terbinanya usrah muslim impianku, dengan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulnya, justeru meneruskan perjuangan memartabatkan Islam di muka Bumi ini hingga ke titisan darah yang terakhir. Diriku juga bercita-cita untuk menjadi zaujahmu yang solehah, seperti mana yang telah dijanjikan Rasulullah :

" Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada isteri yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya."
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih).

Bakal Imamku yang dirahmati,
" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".
(An-Nisa':34) 

Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. 

Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan kesabaran, ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saff menuju ke syurga insyaAllah. Inginku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku.

Ketahuilah, aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku hanya sekadar sehelai telekung, kerana aku yakin dengan sehelai telekung tersebut maka dirimu akan sentiasa membimbingku dan meraih keredhaanNya.

Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.

Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini.

Akhir kalam, maaf andainya terdapat tutur bicara yang mengguris di hati dan biarlah coretan warkah ini sebagai perantaraan bagi mengelak diri dari jemu merindu sehinggalah tatkala kita disatukan.

Wassalam..




No comments:

Post a Comment

Ini blog putri d'bayu. Sebarang tindakan untuk men'copyright' dari blog ini akan didakwa. If like, sila CREDIT blog putri d'bayu